|
TIDAK keterlaluan jika dikatakan revolusi dunia audio dan visual (AV) hari ini banyak dipengaruhi oleh teknologi High Definition Multimedia Interface (HDMI). Teknologi ini bukan sekadar membolehkan sambungan antara komputer dengan peralatan audio visual, malah ia dikatakan mampu menyokong perkakasan hiburan digital masa depan yang belum wujud lagi pada hari ini. Dibangunkan bersama oleh Panasonic, Sony, Hitachi, Philips, Toshiba, Thomson dan Silicon Image, HDMI merupakan tulang belakang kepada produk seperti pemain video blu-ray, HD-DVD, TV berdefinisi tinggi (HDTV) dan produk-produk AV digital lain. Apakah itu HDMI? HDMI merupakan kabel dan peranti yang membolehkan penghantaran resolusi video berdefinisi tinggi dan juga saluran audio yang pelbagai. Kabel HDMI terdiri daripada 19 wayar dalam yang membenarkan penyaluran lima Gbps audio/video digital tidak mampat, satu nilai yang tidak pernah kedengaran sebelum ini. Bagaimana ia berfungsi? Wayar HDMI berfungsi dengan cara menghasilkan isyarat digital dari sumber AV, sama ada dari unit penerima AV, pemain DVD mahupun dekoder satelit. Ia kemudiannya akan menghantar isyarat kembali kepada peranti digital yang lain. Apa yang istimewanya ialah sungguhpun kualiti audio dan visual yang dihasilkan berkualiti tinggi, HDMI sebenarnya menggunakan kurang daripada 50 peratus daripada bandwidth. Kesemua wayar HDMI mempunyai saluran 24 bit dengan frekuensi 192 kHz yang membolehkan transmisi audio yang tidak dimampatkan. Bagaimanapun, ia juga menyokong format yang dimampat seperti Dolby dan DTS. Ciri-Ciri Selain mampu melakukan penghantaran AV berkualiti tinggi, HDMI juga mampu menghasilkan video berkualiti tinggi dari 720p, 1080I dan 1080p. Sokongan pelbagai saluran audio dan kesan bunyi surround juga merupakan sebahagian daripada pakej teknologi ini. Ia tidak terhad kepada format definisi NTSC sahaja, tetapi juga menyokong format seperti PAL dan 480p. 
HDMI menjadi tulang belakang kepada produk-produk elektronik seperti pemain DVD berdefinisi tinggi. - Gambar hiasan
HDMI terdiri kepada dua jenis iaitu jenis A dan jenis B. HDMI jenis A merupakan kabel standard 19 pin yang sesuai untuk TV, komputer dan produk konsumer berdefinisi tinggi (HD) yang lain manakala jenis B mempunyai 29 pin dan direka khusus untuk panggung wayang yang memerlukan kualiti dan kesan audio visual yang lebih menggegarkan jiwa. Kelebihan HDMI Kaedah terbaik untuk menentukan kelebihan mempunyai perkakasan HDMI ialah dengan menonton dan mendengar kualiti yang terhasil. Oleh kerana HDMI merupakan segala-galanya tentang digital, data yang dihantar jauh lebih bermutu berbanding perkakasan yang masih menggunakan teknologi analog. Tidak seperti antara muka digital yang lain, HDMI tidak melibatkan penukaran isyarat digital kepada analog, proses yang membawa kepada penurunan kualiti data. Pembangunan teknologi yang mempunyai bandwidth yang lebih digunakan adalah lebih mudah. Versi HDMI terawal dibangunkan pada tahun 2002 dan mampu menyokong penyaluran data sebanyak 3.96 Gbps bagi video dan lapan saluran LPCM/192 kHz/24-bit bagi audio. Peningkatan teknologi ini yang seterusnya melibatkan tambahan ciri seperti Deep Color (30-bit hingga 28-bit), One Bit Audio, Dolby TrueHD dan lain-lain. Hasil kajian yang dijalankan menunjukkan lebih daripada 140 juta perkakasan HDMI berjaya dijual pada tahun lalu dan angka ini dijangka akan terus meningkat pada tahun-tahun mendatang kerana seperti perkakasan digital yang lain, harganya akan menurun setelah berada di pasaran untuk satu jangka waktu tertentu.
|